Thursday, October 16, 2008

Aktiviti Utama Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia

Aktiviti utama Persatuan ini ialah menganjurkan kejohanan Piala Emas Raja-Raja dan Piala Agong.


Kejohanan Piala Emas Sultan-Sultan telah mula diadakan pada tahun 1922 iaitu semasa lawatan Yang Teramat Mulia Raja Muda Inggeris (Prince of Wales) ke sebelah timur termasuk Tanah Melayu dan Singapura. Berbagai-bagai acara sambutan telah diadakan termasuk Pertandingan Bolasepak Melayu tajaan “Malaya / Borneo Exhibition” yang telah diadakan selama dua (2) minggu di Singapura. 10 buah pasukan negeri telah mengambil bahagian iaitu pasukan-pasukan Melayu daripada Singapura, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan. Negeri Pahang dan Perlis tidak mengambil bahagian. Dalam Perlawanan Akhir pasukan Kedah telah berjaya menjadi Johan dengan mengalahkan pasukan Johor dan menerima Piala Emas yang dipertandingkan.


Pertandingan tersebut telah diteruskan lagi dalam tahun berikutnya iaitu pada tahun 1923 di bawah anjuran Malayan Agri-Horticultural Association (MAHA) bertempat di Kuala Lumpur. Kali ini pertandingan itu hanya terbuka kepada empat (4) buah Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Federal Malay States) bagi merebut sebuah Piala Perak yang dikurniakan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Sungguhpun pertandingan itu terbuka kepada empat (4) buah Negeri-negeri Melayu Bersekutu tetapi Pahang tidak dapat turut mengambil bahagian. Selangor telah berjaya memenangi Piala itu berturut-turut selama tiga (3) tahun mulai 1923 hingga 1925 dan menurut Peraturan Pertandingan Piala itu dijadikan milik pasukan Selangor dan tidak dipertandingkan lagi.


Sebagai gantinya pula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Al-Marhum Sultan Alang Iskandar Shah Kudusullah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Al-Marhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah Atikullah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Marhum Sultan Abdullah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad iaitu Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu Negeri-Negeri Bersekutu (FMS) telah menghadiahkan sebuah lagi Piala baru yang dinamakan PIALA EMAS SULTAN-SULTAN.


Selama 12 tahun Piala Emas Sultan-Sultan itu dijadikan rebutan iaitu daripada tahun 1926 sehingga 1938. Pihak penaja Malayan Agri-Horticultural Association telah dapat mengadakan enam (6) kali perlawanan sahaja iaitu pada tahun 1926, 1927, 1928, 1930, 1935 dan 1938. Selepas penubuhan Persekutuan Bolasepak Melayu Semenanjung maka, Pertandingan Piala Emas Sultan-Sultan telah dipulihkan semula dengan disertai oleh semua Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Singapura sehinggalah ke masa ini.


Aktiviti kedua Persatuan ini ialah menganjurkan Kejohanan Piala Agong yang telah telah dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong kepada Persekutuan Bolasepak Melayu Semenanjung untuk dijadikan rebutan pertandingan bolasepak antara pasukan Melayu Utara dan pasukan Melayu Selatan tiap-tiap tahun. Perlawanan pertama telah dilangsungkan pada tahun 1962.


Pertandingan ini telah dihentikan pada tahun 1976 kerana kurang sambutan. Tetapi mulai tahun 1978 Piala Agong ini dijadikan rebutan antara pasukan-pasukan yang berjaya melayakkan diri ke Pertandingan Akhir Piala Emas Raja-Raja. Pada tahun berikut dan seterusnya Johan Piala Agong bertemu dengan Johan Piala Emas Raja-Raja hinggalah tahun 1984.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatudin Al-Mu’adzam Shah telah berkenan mengurniakan Piala Agong yang baru. Oleh yang demikian satu format telah diperkenalkan pada tahun 1985 di mana empat pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir dalam Pertandingan Piala Emas Raja-Raja adalah juga berhak memasuki Pesta Bolasepak Piala Agong hingga ke tahun 1988. Pada tahun 1989 format pertandingan ini diubah lagi seperti tahun 1978 – 1984 iaitu Johan Piala Agong bertemu dengan Johan Piala Emas Raja-Raja.

No comments: